KUALA LUMPUR – Peguam, Nik Saiful Adli Burhan menawarkan khidmat nasihat undang-undang secara percuma (pro bono) kepada pihak yang terlibat dalam kejadian seorang pelajar maut dilanggar di dalam kawasan sekolah di Kelantan, semalam.
Menerusi firma guamannya, Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli, beliau berkata, khidmat guaman kepada guru itu untuk memastikan haknya sebagai warga emas yang diuji dan pendidik terbela di mahkamah.
Bagi keluarga mangsa pula, menurutnya, khidmat guaman itu bagi memberikan kefahaman jelas tentang proses undang-undang dan memastikan kebajikan mereka terjaga.
Jelasnya, tawaran itu melibatkan khidmat nasihat perundangan di awal siasatan sehingga kepada keputusan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan pendakwaan sekiranya ada pertuduhan di mahkamah.
“Tujuan tawaran ini adalah untuk menjadi jambatan antara kedua-dua pihak.
“Kami tidak mahu ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan atau melaga-lagakan kedua-dua pihak demi mengaut keuntungan peribadi di atas air mata sebuah tragedi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan berkata, sebagai pengamal undang-undang jenayah dengan pengalaman mengendalikan puluhan kes kemalangan maut, beliau terpanggil untuk memberikan perspektif yang lebih mendalam berhubung kejadian tersebut.
Katanya, kejadian itu tidak boleh sekadar dilihat kepada teks perundangan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari sudut moral dan kemanusiaan.
“Penjara bukan tempat bagi mereka yang diuji kecuaian sekali seumur hidup. Di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987, jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara minimum adalah lima tahun.
“Namun, kita harus bertanya, adakah wajar seorang pendidik yang telah berusia dan berbakti seumur hidupnya dihantar ke tirai besi atas satu detik ujian Allah SWT yang berupa kecuaian.
“Kami percaya penjara seharusnya menjadi tempat bagi penjenayah tegar dan individu yang berniat jahat, bukannya bagi mereka yang ditimpa musibah akibat kesilapan teknikal atau “tertekan pedal minyak” tanpa sebarang niat melakukan jenayah (mens rea),” katanya.
Tambah beliau, walaupun negara sedang hangat membicarakan isu pemandu mabuk atau lumba haram, kes melibatkan guru berkenaan berada dalam kategori yang sangat berbeza.
Dalam kes pemandu mabuk, jelasnya, terdapat elemen pilihan untuk mengambil bahan terlarang sebelum memandu.
“Dalam kes ini, ia adalah murni sebuah kemalangan tragis. Menyamaratakan hukuman berat tanpa melihat latar belakang kes hanya akan mencederakan institusi kemanusiaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan hukuman berat tidak menjamin pengurangan kecuaian.
Ujarnya, sejarah perundangan menunjukkan bahawa jarang atau hampir tiada kes di bawah Seksyen 41(1) APJ yang bersifat berulang oleh pelaku yang sama.
“Memberi hukuman penjara yang panjang tidak akan secara automatik menjadikan pemandu lain tidak cuai, kerana kecuaian manusia adalah sifat yang tidak dirancang, berbeza dengan jenayah terancang yang boleh dicegah melalui ketakutan terhadap hukuman,” katanya.
Tambah Nik Saiful Adli, beliau tidak berniat membelakangkan undang-undang yang sedia ada, namun percaya undang-undang harus ditegakkan dengan jiwa.
“Keadilan bukan hanya tentang menghukum, tetapi tentang memulihkan (restorative justice).
“Kami menyeru agar masyarakat melihat kes ini dengan mata hati dan memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan tanpa tekanan sentimen melampau,” katanya. – MalaysiaGazette
















