KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan tegas termasuk memastikan perlindungan segera terhadap pasukan pengaman PBB di Selatan Lubnan.
Kementerian Luar Negeri berkata, Malaysia juga menegaskan bahawa semua pihak mesti menghormati sepenuhnya keselamatan, perlindungan dan kebebasan pergerakan pasukan pengaman PBB di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 (2006) serta undang-undang antarabangsa berkaitan.
”Sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman atau menghalang keberkesanan operasi mereka adalah tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.
Awal hari ini media melaporkan, sebuah kereta kebal Israel merempuh kenderaan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Ahad.
Kejadian yang berlaku di selatan Lubanan itu menyebabkan kerosakan kenderaan tersebut sekali gus menyekat pergerakan anggota pengaman di kawasan tersebut.
Misi pengaman itu berkata tentera Israel turut melepaskan “tembakan amaran” sepanjang minggu lalu, dengan sebahagiannya mengenai kenderaan UN yang ditanda dengan jelas.
Dalam satu kejadian, satu tembakan dilepaskan kira-kira satu meter dari seorang anggota pengaman yang telah keluar dari kenderaannya.
Dalam pada itu, Wisma Putra yang mengecam keras kejadian tersebut berkata, Malaysia sebagai penyumpang pasukan pengaman kepada UNIFIL menegaskan komitmen teguh terhadap misi tersebut serta peranan penting operasi pengaman dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Tambahnya, keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman Batallion Malaysia (Malbatt) tetap kekal sebagai keutamaan utama.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua pihak memberi kerjasama penuh kepada UNIFIL dalam memastikan pelaksanaan mandatnya. -MalaysiaGazette
















