MELAKA – Trend pengubahsuaian motosikal secara ekstrem sehingga membuang sistem brek kini dilihat sebagai ancaman serius yang boleh mengundang maut, sekali gus disifatkan berisiko menjadi ‘pembunuh’ di jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, tindakan segelintir penunggang yang lebih mementingkan gaya berbanding nyawa bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam, pihaknya telah menyita dua buah motosikal yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan serius termasuk tiada brek.

“Kedua-dua motosikal tersebut didapati tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, tiada perlindungan insurans, selain tidak mempamerkan nombor pendaftaran.
“Lebih membimbangkan, motosikal berkenaan telah diubah suai secara ekstrem termasuk tidak memasang sistem brek, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan yang boleh membawa maut,” katanya.
Beliau menegaskan, JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya melibatkan pengubahsuaian yang menjejaskan aspek keselamatan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengekang trend berbahaya itu daripada terus menular dalam kalangan penunggang motosikal.
“Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Jangan jadikan ‘style’ sebagai alasan untuk menggadaikan nyawa,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini. – MalaysiaGazette
















