SANDAKAN – Seramai lima individu ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.
Polis dalam kenyataan memaklumkan, operasi bermula jam 4 petang hingga 2 pagi itu menyasarkan kawasan PPR Taman Harmoni, Batu 3 dan Kampung Sim-Sim.
Katanya, serbuan di sebuah rumah di PPR Taman Harmoni membawa kepada penahanan dua lelaki kerana memiliki dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, operasi diteruskan di Kampung Sim-Sim sebelum polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Jambatan 4 atas kesalahan memiliki dadah sama.
Tambahnya, kedua-dua suspek turut didapati positif methamphetamine dan amphetamine serta ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Dalam operasi berasingan, seorang lagi lelaki yang ditahan bagi kes jenayah turut didapati positif dadah selepas ujian saringan dijalankan,” ujarnya.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















