Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan pemandu kereta jenis Perodua Axia dipercayai terlibat dalam insiden langgar lari melibatkan seorang anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek telah ditahan petang tadi dan kini sedang menjalani ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing.

“Kita telah menahan suspek disyaki terlibat dalam kes itu  pada petang ini dan sedang menjalani proses laporan polis serta ujian EBA dan air kencing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pukul 10.47 malam Jumaat lalu, mangsa iaitu Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning.

Pemandu kenderaan terbabit kemudian melangar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan dan bertindak melarikan diri tanpa berhenti untuk memberikan bantuan kepada mangsa.

Anggota trafik cedera selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada Jumaat lalu.

Mohd Zamzuri dilaporkan berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan belakang kepala selain sakit di bahagian rusuk.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.

Tambahnya, siasatan masih diteruskan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian serta kawasan sekitar bagi membantu mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast