Syed Badli Shah Bin Syed Osman berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Cabang Titiwangsa semalam.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Titiwangsa dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2026 meluluskan usul supaya Kerajaan Madani dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menstruktur semula bantuan terhadap pengguna minyak diesel.

Ketuanya, Syed Badli Shah Bin Syed Osman berkata, penstrukturan itu termasuk cadangan memperkenalkan kuota subsidi diesel bagi kenderaan persendirian dan menurunkan kadar cukai jalan sebanyak 50 peratus kepada pemilik kenderaan diesel persendirian dan komersial.

Menurutnya, PKR Titiwangsa amat prihatin terhadap rungutan ramai berikutan kenaikan ketara harga minyak diesel yang serba sedikit akan menjejaskan pelbagai industri dan memuncakkan kenaikan harga barang.

“Kami memahami bahawa krisis ini adalah krisis global, namun kami juga berpandangan kenaikan harga minyak khususnya diesel ini dapat dikurangkan dengan penstrukturan semula bantuan termasuk memberi fokus kepada pengguna industri kecil dan persendirian,” katanya dalam satu kenyaatan hari ini.

Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Cabang Titiwangsa semalam.

Tambah beliau, pihaknya juga berharap agar kerajaan dapat segera mengembalikan kuota 300 liter RON95 Budi Madani tatkala krisis di Asia Barat berakhir.

“Keadilan Titiwangsa berikrar akan terus berdiri teguh dibawah kepimpinan Anwar dan Kerajaan Madani,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan 2026 PKR Cabang Titiwangsa berlangsung semalam di Dewan Serbaguna Desa Pandan dan dirasmikan oleh Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast