KUALA LUMPUR – Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memberi amaran kepada orang ramai berhubung taktik penipuan terbaharu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa bagi kes-kes penipuan.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, modus operandi tersebut dikesan apabila mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang menyamar sebagai wakil National Scam Response Centre (NSRC).
Menurutnya, suspek kemudiannya mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan.
Ujarnya, mangsa yang mempercayai tawaran tersebut telah membuat beberapa transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza seperti yang diarahkan.
Bagaimanapun, tambah beliau, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan sebelum menyedari telah menjadi mangsa penipuan.
“JSJK menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, apatah lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod JSJK, sebanyak enam kes penipuan melibatkan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang mangsa telah direkodkan bagi tahun lalu hingga Mac tahun ini, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491.
Katanya, ia melibatkan beberapa kontinjen termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu serta kebanyakannya membabitkan mangsa yang diperdaya kali kedua.
“Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dinasihatkan untuk segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. – MalaysiaGazette
















