Tangkap layar dari video yang tular

JASIN – Bukan sahaja wang atau barangan mahal, malah hasil laut seperti siput beliung, mentarang, lokan dan belangkas segar juga kini menjadi sasaran penjenayah apabila sebuah gerai di Pantai Siring dipecah masuk minggu lalu.

Peniaga berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Siti berkata, kejadian berlaku antara jam 1 hingga 3 pagi Jumaat lalu mengakibatkan dia kerugian kira-kira RM2,000.

“Sebanyak kira-kira dua kilogram mentarang, lima ekor belangkas serta satu kilogram siput beliung antara yang disimpan untuk jualan harian lesap selepas kedai di Pantai Siring dipecah masuk pencuri.

“Wajah lelaki yang melakukan perbuatan itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan ini adalah kejadian pertama berlaku di sini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurutnya, dia juga terkejut apabila beberapa pelanggannya tampil memaklumkan mereka ternampak lelaki sama dalam CCTV menjual hasil laut yang sama di kawasan berhampiran.

“Bila saya bandingkan dengan rakaman CCTV, memang sama orangnya. Dia jual balik barang yang dicuri di kedai saya,”dakwanya lagi.

Terdahulu, kes tersebut turut tular di media sosial apabila peniaga berkenaan berkongsi kejadian itu sambil meminta orang ramai supaya berhati-hati jika dihampiri individu menjual hasil laut itu.

“Semalam Bakau Bakau Siring kena pacah masuk, antara yang kena curi mentarang, kalau tengok dalam CCTV banyak dia ambil sampai isi masuk dalam guni.

“Jadi sesiapa hari ini ada beli mentarang dalam Melaka tolong bagitahu ya sebab setahu akak dalam Melaka akak sorang je jual mentarang memang tiada nelayan cari mentarang buat masa ini.

“Beliung, lokan, belangkas pun dia ‘sapu’ juga jadi harap ada info boleh hubungi kami ya,” katanya menerusi video yang tular.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa.

Polis dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kes hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast