Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas terlibat dalam kes ragut beg sandang seorang peniaga di kawasan Taman Mutiara Raya, Cheras pada 4 April lalu.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia 23 hingga 33 tahun tiga serbuan berasingan.

Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat mangsa mendakwa telah diragut dua suspek bermotosikal di hadapan sebuah salon rambut.

“Dalam kejadian itu mangsa mengalami kerugian anggaran RM2,000 wang tunai beserta dokumen peribadi dan kad bank.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menjalankan tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras dan pusat beli-belah My Town pada 9 April dengan menahan kesemua suspek,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Rosdi, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah lampau antara dua hingga 14 rekod.

“Polis turut menyita sebuah motosikal, beberapa komponen kenderaan, telefon bimbit, topi keledar, dan wang tunai dipercayai kaitan dengan kegiatan itu.

“Siasatan awal mendapati, dua suspek menggunakan motosikal milik rakan mereka untuk melakukan jenayah ragut.

“Manakala wang hasil samun akan dibahagikan sesama mereka untuk kegunaan harian serta pembelian dadah,” jelasnya.

Berikutan itu katanya, kesemua suspek kini direman bermula 10 April hingga esok bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast