GEORGE TOWN – Isu keselamatan jalan raya membabitkan kenderaan agensi kerajaan kembali mencetuskan perhatian apabila dua bas milik Jabatan Penjara didakwa dipandu tanpa mengikut protokol pengiringan yang sah dalam satu insiden di Kajang menghala ke Cheras, Selangor hari ini.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrasegar mendakwa, kejadian itu bukan sekadar isu trafik sebaliknya membabitkan pelanggaran integriti dan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dipatuhi.
Beliau mendakwa, berdasarkan rakaman video yang diperoleh, kedua-dua bas terbabit dilihat bergerak tanpa sebarang unit pengiring seperti motosikal atau kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan bagi mengawal laluan.
“Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada ia merupakan SOP baharu atau sekadar kecuaian pemandu terlibat kerana SOP sedia ada mewajibkan penggunaan sekurang-kurangnya dua motosikal atau sebuah MPV pengiring di hadapan.

“Secara teknikal, bas sebagai kenderaan berat mempunyai titik buta yang besar dan apabila dipandu dengan membuka siren tanpa kawalan pengiring, risiko kemalangan khususnya kepada penunggang motosikal meningkat berkali ganda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shandrasegar mendakwa tindakan memintas trafik tanpa kawalan laluan yang jelas boleh mengundang risiko tinggi termasuk kemungkinan kemalangan maut sekiranya berlaku brek kecemasan.
“Walaupun orang ramai sering diingatkan supaya memberi laluan kepada kenderaan agensi kerajaan, pihak agensi juga perlu menghormati keselamatan pengguna jalan raya dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Justeru kita mendesak Jabatan Penjara serta Jabatan Integriti menjalankan siasatan terhadap semua pemandu bas dan unit pengiring bagi memastikan pematuhan SOP.
“Rakyat tidak mahu melihat kehilangan nyawa hanya akibat kegagalan mematuhi peraturan yang sepatutnya menjadi amalan harian agensi penguat kuasa, selain mendakwa integriti jabatan kini menjadi perhatian umum,” katanya. – MalaysiaGazette
















