Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Pengumuman kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar pastinya memberikan kelegaan kepada sebahagian pesawah padi yang bakal memulakan musim penanaman pada bulan ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peningkatan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan membuktikan Kerajaan Madani memahami beban yang sedang ditanggung oleh lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang kini bergelut dengan peningkatan kos operasi pertanian.

Menurutnya, beliau turut menghargai langkah kerajaan memudah cara pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian melalui pelonggaran syarat permit khas untuk pembelian bahan api melebihi 20 liter, yang pastinya akan melancarkan operasi di lapangan.

Jelasnya, kesemua langkah tambahan itu membuktikan bahawa Kerajaan Madani terus cakna dan peduli terhadap kebajikan pesawah dan petani negara.

“Bang Mat yakin bantuan-bantuan tambahan yang diumumkan ini bukanlah langkah yang terakhir.

“Tentunya Kerajaan dari semasa ke semasa akan melihat kesan krisis tenaga global ke atas sektor keterjaminan makanan, dan akan mempertimbangkan langkah mitigasi tambahan sekiranya diperlukan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Terdahulu, Mohamad merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman bantuan bagi membantu pesawah, petani dan pekebun kecil yang terkesan akibat kenaikan kos bahan api susulan krisis tenaga global hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan terus komited memastikan sektor pertanian negara kekal aktif, berdaya tahan dan mampu menjamin keterjaminan makanan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast