KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun direman disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta sebagai balasan membantu meluluskan bayaran tuntutan kontraktor berkaitan membina gelanggang squash bernilai RM7 juta di ibu negara.
Perintah reman selama lima hari sehingga 18 April depan terhadap suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7 petang semalam di sebuah pusat membeli belah di Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada Mac lalu dan telah meminta rasuah sebanyak RM1 juta.
“Bagaimanapun suspek dipercayai telah menerima kira-kira RM500,000 tunai sebelum Aidilfitri lalu dan RM100,000 lagi semalam daripada kontraktor terbabit di sebuah pusat membeli belah di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















