PUTRAJAYA – Dakwaan beberapa stesen minyak kehabisan bekalan tidak mencerminkan situasi sebenar negara sebaliknya hanya melibatkan kes terpencil, kata Menteri Pengangkutan.
Anthony Loke menegaskan, isu tersebut tidak boleh ditafsir sebagai petanda Malaysia berdepan kekurangan bekalan bahan api secara menyeluruh.
“Saya rasa itu adalah kes-kes terpencil. Dia (Perkara itu) bukannya sebab tak ada bekalan. Mungkin dari segi penghantaran dan sebagainya, ada stesen-stesen minyak yang mungkin sudah habis stok dan sebagainya.
“Dan mungkin ada masalah dari segi bekalan daripada pembekal jadi itu bukannya melambangkan bahawa Malaysia sudah habis stok (bahan api),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini.
Ahad lalu, tular insiden meter pam terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis, susulan stesen minyak berkenaan tidak dilengkapi sistem pengesan isi padu automatik (automatic cut-off) apabila stok kehabisan.
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh, keadaan itu menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih mahal berbanding harga sebenar diesel yang diisi.
Tambah Anthony, kes berkenaan berlaku susulan lonjakan permintaan yang tinggi sehingga sesetengah stesen tidak dapat menampung peningkatan mendadak tersebut.
Beliau berkata, faktor logistik seperti penghantaran dan permintaan setempat turut menyumbang kepada keadaan stesen minyak kehabisan stok buat sementara waktu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan situasi itu tidak menggambarkan krisis bekalan minyak di Malaysia.
“Ada stesen-stesen tertentu mungkin kadangkala dia punya permintaan terlalu tinggi dan dia habis dan tidak dapat dibekalkan pada masa yang paling cepat.

“Jadi ia itu adalah kes-kes terpencil yang bukannya melambangkan masalah dalam negara kita secara keseluruhannya. Namun begitu itu sesuatu yang perlu ditangani lah oleh pihak syarikat minyak, pihak pembekal dan KPDN sudah tentu akan melihat dalam perkara itu,” katanya lagi.
Katanya, kerajaan telah berulang kali memberi jaminan bekalan bahan api negara masih mencukupi dan berada pada tahap terkawal.
Dalam masa sama, isu gangguan bekalan di peringkat stesen akan ditangani oleh syarikat minyak serta pembekal bagi memastikan pengedaran kembali stabil dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















