KUALA LUMPUR – Pas menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam yang mendakwa Iran serta proksinya terlibat dalam aktiviti keganasan, selain mencadangkan kemungkinan kewujudan rangkaian termasuk “operatif Hamas” di negara jiran.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan sedemikian yang dibuat secara terbuka tanpa bukti sokongan jelas berisiko menimbulkan persepsi negatif terhadap negara serantau yang telah lama membangunkan kerjasama keselamatan dan antikeganasan.
Menurut beliau, kenyataan berkenaan boleh dianggap tidak sensitif serta berpotensi menimbulkan syak wasangka tidak adil terhadap negara jiran yang selama ini mengekalkan rangka kerja kukuh dalam usaha memerangi keganasan.
“Dakwaan sedemikian, yang dibuat secara terbuka tanpa bukti sokongan yang jelas, berisiko dilihat sebagai tidak sensitif dan boleh menimbulkan syak wasangka tidak adil terhadap negara jiran yang sekian lama mengekalkan rangka kerja kukuh memerangi keganasan serta kerjasama serantau,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan naratif yang digunakan dalam menggambarkan konflik Asia Barat ketika ini, khususnya apabila ia dilihat selari dengan kepentingan geopolitik tertentu dan pada masa sama membayangkan kemungkinan kehadiran militan di rantau Asia Tenggara.
“Gambaran konflik Asia Barat yang sedang berlangsung dengan cara yang dilihat selari dengan naratif geopolitik tertentu, sambil membayangkan kemungkinan kehadiran militan di Asia Tenggara, menimbulkan persoalan mengenai motif dan kewajaran kenyataan tersebut pada masa ini,” katanya.
Tambah beliau, negara-negara di Asia Tenggara telah lama membuktikan keupayaan mengekang ancaman ekstremisme melalui perkongsian risikan, kerjasama keselamatan serta mekanisme penguatkuasaan yang diselaraskan.
Sehubungan itu, ujarnya, Pas berpandangan cadangan terbuka mengenai kewujudan operatif militan asing di negara jiran berpotensi menjejaskan rekod kerjasama tersebut dan boleh meningkatkan ketegangan serantau secara tidak perlu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ketika kestabilan, diplomasi dan usaha meredakan ketegangan amat diperlukan, semua pihak perlu lebih berhati-hati dalam penyampaian mesej keselamatan awam.
“Pada ketika ini, kestabilan, diplomasi dan usaha meredakan ketegangan amat diperlukan, justeru Pas menggesa agar seseten pihak berhati-hati dalam penyampaian mesej keselamatan awam, khususnya apabila kenyataan sedemikian membawa implikasi terhadap negara jiran dan hubungan serantau,” katanya.
Takiyuddin menambah, kesiapsiagaan keselamatan sememangnya penting, namun komunikasi yang bertanggungjawab perlu diutamakan bagi memelihara kepercayaan dan kestabilan rantau ini.
“Ia mesti disertai komunikasi yang bertanggungjawab yang memelihara kepercayaan, mengelakkan spekulasi dan melindungi kestabilan serantau,” katanya.
Awal hari ini, K Shanmugam menyatakan konflik Asia Barat memberi implikasi keselamatan global apabila beliau dilaporkan seolah-olah mendakwa Iran dan proksinya terlibat dalam serangan terhadap Israel serta kepentingan Barat.
Menurutnya, ancaman tersebut tidak terhad di Asia Barat dan boleh memberi kesan kepada negara lain termasuk Singapura.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan “operatif” Hamas di negara jiran, yang disifatkan sebagai risiko keselamatan serius.
Situasi konflik semasa, katanya, meningkatkan ancaman keganasan global dan memerlukan kawalan keselamatan lebih ketat. – MalaysiaGazette
















