Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menegaskan pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik susulan perkembangan konflik di Asia Barat.

Ketua Pegawai KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, ini kerana  bekalan barangan asas mencukupi dan pihaknya  juga akan sentiasa memantau serta menyelia harga barang sepanjang tempoh konflik ini.

“KPDN WPKL memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas harian adalah mencukupi dan berada dalam keadaan terkawal.

“Pemantauan bekalan dilaksanakan secara menyeluruh di 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Shahran, pihaknya turut melantik dan memantau beberapa Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa tersedia dan mencukupi di pasaran.

“KPDN WPKL juga melaksanakan sesi libat urus dengan syarikat pengeluar minyak bagi memastikan bekalan petrol dan diesel adalah mencukupi di semua stesen minyak termasuk di laluan utama seperti lebuh raya dan pusat bandar.

“Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap barangan kawalan melalui Ops Tiris 4.0 bersepadu akan terus diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang aktiviti penyelewengan,” jelasnya.

Beliau menambah, seramai 168 pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga KPDN WPKL telah digerakkan untuk memantau keberadaan bekalan dan harga di seluruh pelusuk Kuala Lumpur secara berterusan.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan berita yang tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Orang ramai yang mengesan sebarang masalah berkaitan bekalan barangan keperluan di kawasan masing-masing diminta untuk melaporkan terus kepada pihak KPDN WPKL bagi tindakan segera.

“KPDN WPKL komited untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan stabil demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak kementerian melalui portal e-aduan.kpdn https://eaduan.kpdn.gov.my, call centre: 1 800 886 800 dan e-mail: [email protected].

Selain itu, pengguna boleh mengemukan aduan menerusi aplikasi telefon bimbit di Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 6245 atau menerusi Whatsapp: 019-848 8000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast