Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus komited memperkukuh kepimpinan wanita melalui pelaksanaan Program PERANTIS yang terbukti berjaya melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran Program Inspirasi Wanita: Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi yang berlangsung di di sini hari ini, bagi meraikan tokoh-tokoh wanita yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi serta kepimpinan yang cemerlang sepanjang pelaksanaan program PERANTIS tahun 2025.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program PERANTIS merupakan inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa kepimpinan wanita melalui pendekatan bimbingan, perkongsian pengalaman dan pembangunan kapasiti secara menyeluruh.

“Kita mahu melihat lebih ramai wanita bukan sahaja menyerlah dalam bidang masing-masing, tetapi juga berani melangkah ke peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan.

“Program PERANTIS menjadi platform penting untuk membina keyakinan, keupayaan serta rangkaian sokongan dalam kalangan wanita” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, Datin Safida Zalma Mohd Piah; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM, Mohd Daud Mohd Arif dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapit.

Program PERANTIS dilaksanakan bermula pada 2024, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.

Kejayaan PERANTIS pada tahun 2024 amat memberangsangkan apabila seramai 1,247 peserta telah menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita dalam 10 bidang utama, meliputi kepimpinan, politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan, keselamatan, kesejahteraan, pendidikan dan kesihatan.

Pada tahun lalu, program itu diperluas dengan penglibatan 100 tokoh wanita dan 4,129 peserta dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Bagi tahun ini pula, sebanyak RM4juta diperuntukkan dengan sasaran penglibatan 80 tokoh wanita dan 4,000 peserta, sekali gus mengukuhkan lagi usaha melahirkan pemimpin wanita berkualiti di pelbagai sektor.

Usaha itu selaras dengan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan barisan pemimpin pelapis wanita dan peningkatan kemahiran kepimpinan.

Program PERANTIS juga menyokong aspirasi nasional di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta komitmen serantau melalui kerjasama ASEAN dalam memperkasa penyertaan wanita dalam kepimpinan, ekonomi dan pembangunan sosial secara inklusif.

Tema “Menjejak Potensi, Menghargai Dedikasi” yang dipilih amat bertepatan dengan semangat PERANTIS di mana setiap tokoh dan peserta mempunyai potensi yang tersendiri dan melalui program ini, potensi tersebut telah digilap berdasarkan pengalaman pembelajaran, bimbingan mentor serta pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan.

Komitmen yang ditunjukkan sepanjang program itu membuktikan bahawa wanita berupaya memikul tanggungjawab kepimpinan dengan cemerlang, serta mampu menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast