Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemandu kereta yang melanggar seorang pejalan kaki dalam kejadian langgar lari di Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, di sini pada 8.19 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.39 tengah malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa sedang melintas dari kiri ke kanan jalan berhampiran lintasan pejalan kaki.

“Semasa sedang melintas tiba-tiba datang sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti dari arah sebelah kanan mangsa lalu terus melanggarnya.

“Kesan dari pelanggaran, mangsa telah tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan parah. Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang oleh pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar menggesa pemandu kereta yang terlibat untuk hadir membuat laporan polis di Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi tujuan siasatan.

“Selain itu, mana-mana saksi bebas yang melihat kemalangan diminta untuk tampil bagi membantu siasatan atau boleh hubungi pihak polis di talian 03-92740112,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast