Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan melakukan gimik Perasmian Akademik Sepak Takraw Malaysia di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi memperkasa sukan sepak takraw sempena pelancaran Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Beliau mahu penekanan diberikan kepada pembangunan pemain, kebajikan serta usaha mengangkat martabat sukan warisan negara itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, sepak takraw merupakan antara sukan paling popular dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya di peringkat kampung dan desa namun masih belum diberi perhatian sewajarnya berbanding sukan lain.

Beliau berkata, fokus utama dalam pembangunan sukan bukanlah semata-mata kepada persatuan atau pencapaian akademik, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada pemain serta usaha menyemarakkan minat rakyat secara menyeluruh terhadap sukan tersebut.

“Yang penting bukan persatuan, tetapi pemain. Kita mahu lebih ramai rakyat mencintai sukan ini dan membuka ruang kepada anak muda untuk berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.

Anwar turut menegaskan, kepentingan memperluaskan penyertaan pelbagai kaum dalam sepak takraw yang sebelum ini dilihat lebih didominasi oleh masyarakat Melayu selaras dengan peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkasa sukan secara inklusif.

Beliau berkata, kekuatan sepak takraw terletak pada nilai warisan dan sejarahnya yang telah lama berakar dalam budaya tempatan malah tercatat dalam kisah-kisah sejarah Melayu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para pemain agar sentiasa berdisiplin, tidak sombong serta menghargai sokongan kerajaan dan rakyat dalam mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Tanpa disiplin dan latihan, mustahil kita capai tahap tertinggi. Kejayaan itu datang dengan sokongan semua pihak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, peruntukan RM2 juta itu akan disalurkan untuk kebajikan atlet termasuk keperluan latihan, makanan, pakaian serta pembangunan persatuan dan akademi.

Terdahulu, beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah RM1 juta telah diluluskan bagi penganjuran acara sepak takraw pada Mei ini.

Tambah beliau, usaha memperkasa sepak takraw juga mencerminkan kematangan negara dalam menyatukan rakyat tanpa mengira kaum melalui sukan, sekali gus menyemai semangat perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast