KUALA LUMPUR – Tiga lelaki ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di kawasan setinggan Jambatan Merah, Batu 1 1/2 di sini, Isnin lalu.
Operasi yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan.
Dalam serbuan tersebut, dua lelaki ditahan kerana memiliki dadah jenis methamphetamine (syabu) di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi ditahan kerana disyaki terlibat dalam penagihan dadah.
Kesemua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil ujian saringan awal mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu),” katanya.
Susulan itu, kesemua mereka turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















