KUALA LUMPUR – Isu pelaksanaan Diyat memerlukan ruang perbincangan yang khusus antara pakar tanpa dicampuri dengan pandangan yang boleh mensensasikan keadaan sehingga menjadi modal politik.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan satu penyelesaian menyeluruh dapat dicapai demi kepentingan semua pihak.
“Jadi dalam isu ni biarlah pakar-pakar kami yang berbincang dengan pihak guam bersama-sama pihak takaful sampai berjaya.
“Yang lain tu jangan bagi cadangan apa-apa sebab cadangan yang pelik-pelik ni akan menjadi satu isu politik dan akhirnya menekan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk Diyat: Mekanisme Keadilan Mangsa Kecuaian Melampau Bersama seorang lagi panel iaitu Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Muhamad Hisham Marzuki.
Tambah Ahmad Fauwaz, kerjasama semua pihak amat diperlukan tanpa ada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan tertentu.
“Kita minta masyarakat tenang, bagi pihak yang berautoriti bincang supaya mereka senang.
“Kadang-kadang tu tak sempat kerajaan nak buat… jadi perkara ini kena dalam tempoh yang tenang.
“Kalau kita push pihak polis pun, dalam siasatan dia takkan dedah. Sebab kalau dedah, netizen akan hentam sampai dia terganggu untuk melakukan keputusan,” katanya lagi.
Mengakui pelaksanaan mekanisme Diyat dilihat sebagai langkah proaktif bagi menjamin kelangsungan hidup waris mangsa kemalangan jalan raya, terutamanya dalam kes yang melibatkan kecuaian melampau, beliau berkata, Diyat bukan sekadar pampasan material, tetapi merupakan instrumen keadilan Islam yang berfungsi merawat emosi dan menyediakan keterjaminan ekonomi kepada keluarga mangsa.
“Konsep Diyat bertujuan memberikan nilai keterjaminan kepada waris, terutamanya apabila mangsa merupakan tunggak utama keluarga.
“Jiwa yang sedih dan terluka boleh dirawat melalui pampasan harta.
“Dalam Islam, Diyat berfungsi menggantikan qisas (hukuman balas) untuk memastikan keluarga yang ditinggalkan mempunyai sokongan kewangan untuk terus bertahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan perbezaan antara ganti rugi sivil dan Diyat, di mana Diyat disulami dengan nilai ibadah dan akauntabiliti di akhirat.
“Pampasan sivil hanya mempunyai nilai dunia semata-mata.
“Namun, semangat Diyat adalah untuk beribadat kepada ALLAH SWT yang merangkumi kesejahteraan di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Diyat memerlukan reformasi yang menyertakan kerjasama antara pakar perundangan, institusi fatwa, dan industri takaful.
“Kita perlukan sistem yang mantap dan dilindungi akta.
“Apabila mekanisme ini dilaksanakan, keadilan dapat diberikan kepada mangsa melalui pampasan, manakala pelaku pula mendapat jalan penyucian dosa melalui kafarah,” ujarnya.
Sementara itu, katanya Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan kini sedang dalam proses mewartakan fatwa mengenai kewajipan Kafarah bagi pelaku yang menyebabkan kematian tanpa sengaja.
“Antara tuntutan Kafarah termasuklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 fakir miskin jika tidak mampu berpuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















