KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terus memperkukuh pengalaman perjalanan penumpang tren elektrik (ETS) menerusi pemerkasaan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) di dalam tren melalui penjenamaan ‘Stesen’.
‘Stesen’ menampilkan pendekatan perkhidmatan yang lebih segar, moden dan berteraskan cita rasa semasa, sekali gus memperkukuh nilai tambah yang ditawarkan kepada pelanggan dalam ekosistem perkhidmatan rel KTMB.
Melalui pendekatan ini, penumpang ETS kini dapat menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, terutamanya sajian tempatan seperti aneka kuih-muih serta hidangan yang memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.
Penawaran ini turut memperkenalkan keunikan makanan tempatan kepada penumpang luar negara, sekali gus membantu mempromosi produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
Di samping memperkaya pengalaman penumpang, KTMB yakin inisiatif ini merupakan satu platform buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengetengahkan produk makanan mereka dengan lebih meluas.
Usaha ini juga selari dengan tumpuan kerajaan yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkembangkan perusahaan daripada mikro kepada kecil, dan daripada kecil kepada sederhana, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al-Bakri berkata, KTMB sentiasa komited untuk memastikan setiap perjalanan yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi keperluan pengangkutan, tetapi turut memberikan pengalaman yang lebih menyenangkan dan bernilai tambah kepada penumpang.
“Pembaharuan perkhidmatan F&B ini merupakan antara usaha kami untuk memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelanggan di dalam tren menerusi sajian yang lebih segar, berkualiti dan menepati citarasa semasa.
“Malah, pendekatan ini turut membuka peluang kepada produk makanan tempatan untuk diperkenalkan kepada kelompok pengguna yang lebih luas dan pelbagai latar belakang, termasuk pelancong asing, sekali gus menyokong ekosistem perniagaan tempatan,” katanya.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, setiap perkhidmatan ETS turut dilengkapi dengan kru perkhidmatan khusus yang mengendalikan bistro serta menawarkan makanan dan minuman kepada penumpang sepanjang perjalanan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang mesra, cekap dan konsisten.
KTMB yakin pemerkasaan perkhidmatan F&B ini akan terus mengukuhkan kedudukan ETS sebagai pilihan utama pengangkutan rel moden negara, dengan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih berkualiti, selesa dan selari dengan gaya hidup masa kini. – MalaysiaGazette
















