Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban menunjukkan pasport dan kad kerja sementara palsu pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen menerusi Ops Serkap di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 April 2026.

PUTRAJAYA – Sindiket pemalsuan dokumen imigresen yang dipercayai mengaut keuntungan lebih RM100 juta tumpas dalam operasi khas Ops Serkap yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 13 dan 14 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan selama enam bulan itu membabitkan serbuan di enam lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan pihak berkuasa menemui pelbagai dokumen imigresen yang telah dipalsukan termasuk e-pass, pelekat keselamatan dan slip pas yang diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Antara barang rampasan sindiket pemalsuan dokumen menerusi Ops Serkap dipamerkan pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 April 2026.

“Antara rampasan dibuat ialah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950.

“Seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada tiga lelaki Nepal, tiga lelaki India, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam berstatus penduduk tetap yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Selain itu, enam saman kepada saksi (Borang 29) telah dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, satu pasukan khas telah diatur gerak pada 14 April 2026 sekitar pukul 12.30 tengah malam ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat tinggal suspek utama beralamat di Jalan Galloway, Kuala Lumpur.

“Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki oleh suspek utama yang disyaki cuba melarikan diri dan suspek berjaya ditahan.

“Suspek utama yang ditahan dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah @ MJ, seorang lelaki warganegara Nepal berumur 43 tahun.

“Siasatan mendapati beliau pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi sejak tahun 2019 hingga 2026 iaitu kira-kira tujuh tahun.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih diteruskan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta anggaran keuntungan yang diperoleh, yang dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun.

“Modus operandi sindiket adalah dengan memproses kemasukan pekerja asing secara tidak sah sebelum menyediakan dokumen dan pas imigresen palsu bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini. Setiap pekerja dikenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut undang-undang imigresen serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Jabatan Imigresen Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

Dalam perkembangan lain, Program Repatriasi Migran PDRM 2.0 yang dilaksanakan JIM terus mendapat sambutan apabila seramai 228,961 warga asing telah berdaftar setakat ini.

Daripada jumlah itu, 204,523 individu telah pulang ke negara asal masing-masing, manakala kerajaan berjaya mengutip hasil sebanyak RM114,585,340 menerusi program berkenaan.

Menurutnya, majoriti peserta program adalah warga Indonesia, diikuti Bangladesh sebagai kumpulan kedua tertinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast