KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 Jun ini bagi keputusan kes saman Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri.
Hakim Datuk Quay Chew Soon turut menetapkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada 13 Mei ini dan hujahan balas pada 28 Mei.
“Mahkamah menetapkan keputusan disampaikan dalam tempoh dua minggu menerusi zoom selepas hujahan balas difailkan,” ujarnya.
Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri.
Pada hari pertama perbicaraan Isnin lalu, Hakim Chew Soon mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.
Semalam, mahkamah mendengar keterangan lima saksi yang dikemukakan oleh pihak ketiga antaranya bekas pegawai kanan polis yang terlibat dalam serbuan di kediaman mewah Pavilion Residences, lapan tahun lalu.
Dalam keterangannya, seorang bekas pegawai kanan polis, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, 68, memberitahu, pasukan serbuan menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari bagasi sehingga bertaburan atas lantai ketika menggeledah Pavilion Residences yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman itu berkata, sejumlah 71 bagasi, satu kotak plastik dan 284 kotak mengandungi beg tangan ditemukan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri pada 17 Mei 2018.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan memaklumkan bahawa pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan dalam tuntutan saman itu, menutup kes selepas mendengar keterangan saksi keenam.
Terdahulu, dalam pernyataannya, saksi keenam yang juga kontraktor pengubahsuaian dalaman kediaman, Chong Tong Leong, 53, mengaku melihat beberapa bagasi dalam sebuah bilik tingkat bawah penthouse berkenaan ketika hadir pada 14 Mei 2018 untuk memeriksa kediaman itu.
Ujar saksi, bagasi tersebut tiada di bilik berkenaan sepanjang pekerjanya menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian bermula Mac 2018.
“Saya datang semula ke unit tersebut pada 14 Mei 2018 kira-kira pukul 12 tengah hari seorang diri untuk membuat pemeriksaan sebelum pendingin hawa dipasang.
“Apabila masuk ke dalam unit tersebut, saya melihat terdapat beberapa beg besar (luggage) di dalam sebuah bilik bawah dalam unit tersebut. Sebelum ini, beg-beg tersebut tidak ada di situ.
“Melihat keadaan tersebut, saya terus keluar daripada unit tersebut dan terus ke parkir kerana bimbang jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya telah menghubungi Encik Nadziff dan diminta untuk memberhentikan dahulu kerja-kerja pembaikan di unit tersebut,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia masih memegang kad akses dan kunci unit selepas 14 Mei 2018, saksi berkata, kad akses dan kunci unit dipulangkan selepas pengubahsuaian selesai.
Terdahulu, saksi turut memaklumkan, dia dihubungi oleh pemilik unit dikenali sebagai Nadziff menerusi panggilan telefon memintanya membaiki pendingin hawa dan menjalankan pengubahsuaian dengan kos RM10,000.
Ujarnya, pekerjanya seramai enam orang kemudian memulakan kerja-kerja pembaikan selepas Nadziff menyerahkan kunci dan kad akses parkir kereta dan kad akses lif pada penghujung Mac 2018.
Kata saksi, kerja-kerja pengubahsuaian ditangguhkan selama dua minggu pada awal Mei 2018 sementara menunggu pendingin hawa tiba. – MalaysiaGazette















