PUTRAJAYA — Sebanyak 441 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah dikenal pasti dalam tempoh kurang tiga minggu iaitu bermula 29 Mac hingga 7 pagi tadi (15 April) hasil pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, dengan 12 daripadanya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian lanjut.
Manakala 42 kes lagi masih dalam siasatan.
“Aduan rasmi telah dibuat oleh orang awam kepada MCMC dan permohonan penurunan kandungan tersebut telah dipanjangkan kepada platform-platform media sosial,” katanya dalam taklimat khas krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan menegaskan, tindakan tegas itu penting bagi memastikan ruang digital negara tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh ketika isu tenaga global hangat diperkatakan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan akan terus mengumumkan harga baharu produk bahan api di Malaysia setiap hari Rabu bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat tidak tepat.
“Untuk makluman, harga baharu bagi produk bahan api di Malaysia hanya diumumkan setiap hari Rabu sekitar jam 6 hingga 7 petang.
“Sebarang makluman atau sebaran yang dikesan sebelum waktu tersebut dan bukan disalurkan melalui platform rasmi Kementerian Kewangan berkemungkinan adalah palsu,” katanya. — MalaysiaGazette
















