KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing mengalami kecederaan ringan selepas kereta jenis Honda City yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh penghadang besi di KM 8.3 Lebuh Raya SILK, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu disebabkan apabila pemandu terbabit gagal mengawal kenderaan ketika melalui susur keluar lebuh raya berkenaan.
“Akibat kejadian itu, kenderaan tersebut melanggar penghadang besi di tengah jalan. Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, kes berkenaan disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sjn 155154 Rozita binti Sahad di talian 012-2327019.
Dalam pada itu, pihak polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan, memandu secara berhemah serta lebih berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette
















