BUTTERWORTH – Suspek kes amuk yang menetak dua lelaki sehingga seorang daripadanya hampir putus tangan dalam kejadian di Telok Ayer Tawar pada Ahad lalu direman tujuh hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Balqis Roslin di Mahkamah Butterworth hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
Terdahulu, suspek berusia 47 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pukul 10.55 pagi diiringi anggota polis dengan memakai baju lokap berwarna oren selain kedua-dua tangannya bergari di belakang.
Suspek yang mempunyai kira-kira 10 rekod lampau termasuk kesalahan dadah itu kelihatan tenang ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah.
Dalam kejadian 12 April lalu, suspek dipercayai mengamuk di hadapan sebuah rumah di Jalan Besar Telok Ayer Tawar sebelum menetak dua individu di kawasan berkenaan.
Dia dikatakan menyerang mekanik berusia 30 tahun menggunakan objek dipercayai parang sehingga menyebabkan mangsa hampir putus tangan kiri manakala seorang lagi lelaki berusia 38 tahun yang cuba membantu turut cedera ringan.
Difahamkan mangsa parah itu kini stabil namun masih menerima rawatan di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN:
Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C. Tharmalingam mengesahkan suspek ditahan kira-kira jam 4 petang di hadapan sebuah gerai di Butterworth selepas dipercayai melarikan diri sejak kejadian itu berlaku.
Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat yang memaparkan seorang lelaki bertindak menyerang dua individu di atas motosikal masing-masing di hadapan sebuah rumah sebelum bertindak melarikan diri. – MalaysiaGazette
















