Kerajaan memberi bayangan jelas bahawa mekanisme subsidi diesel bakal melalui penstrukturan semula apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kewangan (MOF) meneliti segera proses penyasaran subsidi berkenaan.
Arahan itu disahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, susulan keputusan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.















