Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali mendakwa, kerajaan kini berdepan krisis keyakinan serius apabila rakyat bukan sahaja marah malah sudah hilang kepercayaan susulan tekanan kos sara hidup yang berterusan.

Menurut beliau, kerajaan hari ini dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab asas untuk melindungi kehidupan rakyat walaupun petah berpidato dan bijak memainkan persepsi.

Katanya, rakyat kini bergelut dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang semakin menekan termasuk perbelanjaan isi rumah, pendidikan anak-anak serta beban hutang yang kian meningkat.

“Rakyat hari ini bukan sekadar marah tetapi sudah muak dan meluat. Mereka berdepan tekanan hidup setiap hari dengan poket yang semakin kering,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim yang dikenali Tok Him itu turut mendakwa, kerajaan yang sebelum ini lantang memperjuangkan nasib rakyat ketika belum berkuasa kini dilihat gagal menunaikan janji selepas mendapat mandat.

Menurutnya, peningkatan harga minyak dan diesel hanya menambah beban rakyat apabila ia memberi kesan berantai kepada kos pengangkutan, harga barangan dan makanan.

“Rakyat tidak hidup atas hujah menteri atau angka yang dibentangkan. Mereka berdepan realiti sebenar apabila kos kehidupan terus meningkat,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik sikap kerajaan yang didakwa tidak peka terhadap keluhan rakyat malah menganggap suara rakyat sebagai tidak memahami ekonomi.

Tambahnya, keyakinan rakyat terhadap kerajaan telah lama terhakis dan generasi muda kini lebih bijak menilai prestasi serta integriti pemimpin.

“Kerajaan bukan akan kalah kerana lawan kuat tetapi kerana mereka sendiri meruntuhkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Ibrahim menegaskan, kerajaan hanya akan tumbang apabila rakyat hilang hormat dan kepercayaan yang akhirnya diterjemahkan melalui undi dalam pilihan raya.

Beliau berpandangan jika kerajaan terus gagal memahami kesusahan rakyat, kerajaan berisiko besar mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Apabila saat itu tiba, jangan salahkan rakyat atau pihak lawan, tetapi salahkan diri sendiri kerana gagal menunaikan amanah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast