Gambar hiasan. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan kerajaan meneliti semula syarat kelayakan penerima BUDI Diesel yang kini dihadkan kepada mereka berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Naib Ketuanya, Nabil Halimi berkata, masih terdapat rakyat yang masih berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi meskipun melebihi had pendapatan berkenaan.

Jelasnya, ia berkutan, golongan tersebut mempunyai tanggungan keluarga besar serta komitmen kewangan yang signifikan.

“Justeru, kelonggaran ini wajar dipertimbangkan sepanjang tempoh krisis ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan kerajaan meneliti keperluan untuk memperluas skop subsidi diesel kepada sektor-sektor lain yang turut terkesan secara langsung.

“Terdapat juga maklum balas bahawa ada beberapa pemohon masih belum menerima keputusan walaupun telah lama memohon.

“Justeru, adalah wajar untuk pihak kerajaan meneliti secara menyeluruh isu-isu berkaitan kelewatan dalam proses permohonan dan kelulusan, serta mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih cekap dan tepat pada masanya kepada rakyat,” ujarnya.

Terdahulum beliau menyambut baik pengumuman bantuan tambahan daripada kerajaan yang meningkatkan insentif kepada 20,000 pesawah daripada RM150 kepada RM300, serta bantuan tunai kepada pengguna diesel dalam kalangan individu dan petani melalui inisiatif BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel, dengan kadar bantuan dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 kepada 150,000 pemilik kenderaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast