JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merekodkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu 100 peratus berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Ts Dr Ali Selamat berkata, daripada jumlah tersebut pihaknya menyasarkan 30 peratus akan mendapat kerja dengan pendapatan atau gaji premium pada setiap tahun.
“Bidang yang paling tinggi mendapat permintaan industri adalah kejuruteraan petroleum dan kejuruteraan kimia yang merupakan bidang utama selain Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
“Kita juga ada bidang kecerdasan buatan (AI) dan Kejuruteraan Perisian. Itu juga adalah bidang-bidang yang menjadi keutamaan dalam sektor yang ada di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian UTM Premium Career Festival 2026 di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.
Katanya, bidang yang lain yang berkaitan seperti kejuruteraan awam dan pendidikan juga berjaya menempatkan semua graduan UTM ke dalam pasaran kerja.
Jelasnya, UTM adalah sebuah universiti yang komprehensif walaupun fokusnya terhadap bidang kejuruteraan dan teknologi.
Mengenai festival berkenaan, beliau berkata, penganjurannya merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan serta pembangunan modal insan berdaya saing.
Katanya, festival yang berlangsung dua hari bermula semalam menghimpunkan 75 syarikat dari dalam dan luar negara, termasuk 15 syarikat dari Singapura.
Penyertaan syarikat-syarikat itu katanya, menyediakan pelbagai peluang kerjaya berpendapatan premium, latihan industri serta ruang jaringan profesional kepada pelajar dan graduan.
“UTMPearl 2026 bukan sekadar festival kerjaya, tetapi merupakan platform strategik yang menghubungkan bakat muda dengan keperluan industri secara langsung.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UTM dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia untuk memenuhi tuntutan pasaran kerja global, khususnya dalam menyokong pembangunan ekonomi Johor,” katanya.
UTMPearl 2026 berperanan sebagai platform yang merapatkan jurang antara institusi pendidikan tinggi dan industri.
Pada masa sama memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keperluan pasaran kerja, trend industri serta kemahiran masa hadapan yang diperlukan majikan.- MalaysiaGazette.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Ts Dr Ali Selamat (tiga kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian UTM Premium Career Festival 2026 di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini.
















