KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di media sosial di Bekenu, Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua suspek ditahan hasil risikan serta maklumat awam.
Menurutnya, pihak polis turut merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Kesemua suspek direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Anuar Affindi di talian 019-7319540 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Beliau menegaskan, polis memandang serius kejadian berkenaan dan memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam perbuatan ganas atau membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Pada masa sama, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengawal emosi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau kekecohan.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merakamkan penghargaan atas kerjasama masyarakat dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















