JOHOR BAHRU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor menyelar tindakan sesetengah pihak menjadikan ketua kampung sebagai ‘budak suruhan’ dan askar siber (cybertrooper) dalam media sosial.
Ketuanya, Alias Rasman berkata demikian susulan penularan Amanat Menteri Besar Johor ketika ini yang didakwa mewajibkan ketua-ketua kampung berinteraksi dengan hantaran media sosial Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tegas beliau, arahan tersebut termasuk penggunaan ‘nombor badan’ untuk pemantauan setiap minggu, sekiranya benar adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Sejak bila khidmat pemimpin akar umbi seperti ketua kampung diukur melalui butang like, comment dan share?
“Jika arahan ini tidak benar, penafian rasmi mesti dibuat segera. Diam hanya mengundang persepsi negatif dan menjejaskan keyakinan rakyat.
“Namun jika arahan ini benar wujud, ia adalah satu pendekatan yang memalukan dan tidak wajar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tugas hakiki ketua kampung adalah sebagai pemimpin masyarakat yang berkhidmat kepada rakyat setempat, bukan menjadi petugas media sosial.
Jelasnya, ketua kampung bukan askar siber sebaliknya mereka dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukan untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) politik dalam media sosial.
Katanya, mengukur sokongan melalui tanda suka, komen dan kongsi kandungan bukan sahaja dangkal, malah menunjukkan keutamaan yang tersasar daripada realiti sebenar rakyat.
“Di saat rakyat masih berdepan pelbagai isu asas, krisis dan masalah, adalah tidak masuk akal untuk mengalihkan fokus pemimpin akar umbi seperti ketua kampung kepada aktiviti yang tidak memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Sokongan juga tidak boleh dipaksa dengan arahan. Kepercayaan pula tidak lahir daripada angka atau algoritma, tetapi daripada kepimpinan yang berkesan dan berintegriti,” ujanya.
Alias berkata, sebarang pendekatan yang boleh ditafsirkan sebagai tekanan atau pemantauan terhadap sokongan wakil masyarakat adalah tidak sihat dan perlu dihentikan serta merta.
Jelasnya, pentadbiran harus kembali kepada keutamaan sebenar iaitu menyelesaikan masalah rakyat, bukan membina persepsi di media sosial.
“Yang dinilai rakyat ialah hasil kerja sebenar, bukan angka mahupun persepsi semata,” katanya lagi.
Ketika ini tular arahan gerak kerja media sosial untuk ketua kampung di negeri ini susulan amanat Menteri Besar Johor kepada mereka baru-baru ini.
Amanat tersebut mahukan setiap daripada 657 ketua kampung di Johor diwajibkan mempunyai akaun Facebook dan TikTok masing-masing sebagai medium rasmi bagi penyampaian dasar-dasar kerajaan Negeri serta hebahan semasa kepada komuniti setempat.
Setiap Ketua Kampung diwajibkan melaksanakan peranan like, comment dan share bagi setiap hantaran Menteri Besar Johor serta sebarang arahan rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat Exco.
Bagi tujuan pemantauan, setiap ketua kampung diberikan ‘nombor badan’ rasmi dalam bentuk hashtag (cth: #KKJB1).
Nombor badan tersebut digunakan sebagai mekanisme pemantauan di peringkat individu bagi setiap seorang ketua kampung.
Setiap komen yang dibuat dalam Facebook dan TikTok Menteri Besar Johor hendaklah menggunakan hashtag (nombor badan) tersebut.
Bagi tujuan pemantauan, setiap ketua kampung dipohon bekerjasama dan hendaklah melaporkan kepada Wakil Mukim masing-masing, setiap kali peranan like, share dan comment dilaksanakan bagi hantaran Menteri Besar Johor.
Prestasi serta tahap komitmen setiap ketua kampung sedang direkod dan dinilai secara terusan untuk pelaporan kepada Menteri Besar Johor setiap minggu.- MalaysiaGazette
Tangkap layar mesej tular di media sosial yang mendakwa Menteri Besar Johor mengarahkan ketua kampung menekan butang suka, meninggalkan komen dan berkongsi setiap hantaran di media sosial MB.
















