KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh selesa meskipun terdapat lonjakan pendaftaran yang tinggi dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sektor semikonduktor dan elektronik dijangka menyaksikan permintaan memberangsangkan di mana sembilan daripada 10 peranan pekerjaan baharu muncul yang diunjurkan di seluruh dunia tahun lalu, adalah dalam bidang STEM.
Menurut beliau, pada masa ini, kira-kira 43.5 peratus pelajar universiti mendaftar dalam disiplin STEM iaitu salah satu kadar tertinggi di rantau Asia Pasifik.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati. Industri semikonduktor dan elektrik dan elektronik diunjurkan memerlukan tambahan 60,000 jurutera untuk mengekalkan pertumbuhan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Dengan nisbah jurutera kepada penduduk semasa kita pada 1:170 berbanding 1:100 di negara maju seperti Jerman, merapatkan jurang ini bukan lagi pilihan.
“Ia adalah satu kewajipan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pendidikan dan Pembelajaran Malaysia Kesembilan di sini, hari ini.
Teks ucapannya bertajuk “Membina Masa Depan Malaysia Melalui Pendidikan, Bakat dan Inovasi” dibacakan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan (Kluster Dasar Sains dan Teknologi), Sarina Salim.
Fadhlina menambah, bagi menangani cabaran, kerajaan telah memperuntukkan RM84.6 juta untuk inisiatif ‘Digital First‘, manakala RM75 juta telah diperuntukkan untuk mempertingkatkan Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MYREN) merentasi universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
Kata beliau, pembiayaan itu menandakan satu perubahan kerana kerajaan kini bukan lagi hanya membincangkan masa depan pendidikan.
“Walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan 2013–2025 sebelum ini mencapai kadar pendaftaran kasar hampir universal, Malaysia mesti bersedia untuk masa depan pendidikan, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
“Kita berada pada 98.2 peratus di peringkat sekolah rendah, 95 peratus di peringkat menengah rendah dan 88 peratus di peringkat menengah atas.
“Kita mesti membina asas itu, bukan bergantung padanya. Pendidikan adalah tentang membina insan yang boleh menyumbang kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















