KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) antara enam lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengacukan pistol dan melakukan rompakan berkumpulan di kawasan perumahan di sekitar Kepong, awal bulan ini.
DSP Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41; bersama lima lagi tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin.
Lima yang lain ialah Abd Samat Shaari, 44; Faridzuan Yahya, 31; Lim Cheal Kei, 51; Yeoh Choon Siang, 47; dan L. Jijayendran, 31.
Bagi dua pertuduhan, Ahmad Ruzaini didakwa bersama-sama lima tertuduh, dalam mencapai niat bersama melakukan rompakan dengan menunjukkan senjata api iaitu sepucuk pistol terhadap dua individu sehingga mendatangkan ketakutan dan kematian.
Pegawai polis tersebut ketika itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan kini digantung tugas sejak Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan maksimum enam sebatan.
Pegawai berkenaan turut didakwa bersama-sama lima lelaki sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penghuni sebuah rumah di lokasi dan masa yang sama, pada 6 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan perumahan Desa Parkcity, dalam daerah Sentul, dekat sini, antara 4 pagi dan 8.10 pagi, 5 April lalu.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan berat yang tidak boleh dijamin.
Peguam John Ramesh Das mewakili Ahmad Ruzaini, Marthavan Manikam bagi Abd Samat, Faridzuan dan Lim manakala R Kirthiraj bertindak bagi Yeoh dan Jijayendran tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.
Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei ini. – MalaysiaGazette















