Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menuntut penjelasan penuh daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, yang kini disahkan berada dalam wilayah Indonesia.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, penjelasan itu harus diberikan secara telus dan terperinci kepada rakyat khususnya di Sabah yang kini gusar serta mempersoalkan perkembangan tersebut.

Jelasnya, isu itu bukan sekadar perkara teknikal, tetapi menyentuh secara langsung soal kedaulatan negara, kepentingan Sabah serta hak rakyat tempatan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Lebih membimbangkan, dalam pelarasan tersebut, Malaysia dilaporkan hanya menerima sekitar 4.9 hektar kawasan sebagai pertukaran.

“Perbezaan keluasan yang ketara ini bukan sahaja menimbulkan persoalan, malah mencetuskan kebimbangan terhadap keseimbangan hasil rundingan yang dicapai,” katanya dalam satu kenyataan seperti disiarkan portal berita tempatan hari ini.

Tambah Zulkarnain, situasi itu juga menimbulkan persoalan lebih besar berkaitan ketelusan proses rundingan, kedudukan kepentingan negara dalam perbincangan dua hala, serta tahap perlindungan terhadap hak wilayah Malaysia, khususnya di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan asas serta justifikasi rundingan yang membawa kepada keputusan tersebut dan mendedahkan garis sempadan baharu yang telah dipersetujui.

Selain itu, ujarnya, kerajaan juga perlu memperincikan penglibatan Kerajaan Negeri Sabah dalam proses tersebut serta menyatakan implikasi sebenar terhadap kedaulatan, keselamatan serta pentadbiran wilayah negara.

Tegas beliau, sebarang rundingan melibatkan sempadan negara mesti dilaksanakan dengan penuh ketelitian, ketegasan serta keutamaan terhadap kepentingan nasional, dan bukannya sekadar mencapai penyelesaian tanpa mengambil kira keseimbangan hasil kepada kedua-dua pihak.

“Dalam konteks ini, suara rakyat Sabah tidak boleh diketepikan.

“Negeri ini mempunyai kedudukan strategik dari segi geopolitik, keselamatan dan ekonomi, justeru setiap keputusan yang melibatkan wilayahnya perlu dibuat secara berhati-hati dan inklusif,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan memberikan penjelasan yang jelas hanya akan membuka ruang kepada spekulasi serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Semalam, menerusi kenyataan media yang tular, Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhammad Qodari, dilaporkan memaklumkan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Sabah, kini secara rasmi disahkan sebagai milik Indonesia selepas proses penetapan sempadan darat antara kedua-dua negara dimuktamadkan.

Beliau berkata, penyelesaian tersebut merupakan hasil diplomasi damai antara Indonesia dan Malaysia yang telah dipersetujui bersama, sekali gus memperjelaskan garis sempadan rasmi di kawasan berkenaan serta mengukuhkan kedaulatan wilayah Indonesia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast