KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin melepaskan jawatan Ketua Pembangkang disifatkan sebagai langkah berjiwa besar demi memastikan keharmonian dan kelancaran pentadbiran dalam Perikatan Nasional (PN), selain mengelakkan pertelagahan berterusan dalam gabungan tersebut.
Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail berkata, keputusan itu diambil kerana Hamzah tidak mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mengkucar-kacirkan PN serta menekan Pas dengan menjadikan beliau sebagai alasan dalam konflik dalaman.
Menurutnya, Setiausaha Agung PN sendiri mengesahkan, langkah tersebut bertujuan memudahkan urusan dalam gabungan pembangkang utama negara.
“Di bawah kepimpinan Hamzah, blok pembangkang sebelum ini berjaya memainkan peranan dengan baik dan tersusun di Dewan Rakyat, termasuk melalui pembahagian portfolio yang membentuk Kabinet bayangan yang berkesan.
“Langkah ini dilihat sebagai tindakan interim sebelum satu pengumuman lebih besar dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan Bersatu akan terus mencari isu baharu bagi memecahkan PN, termasuk kemungkinan mendesak Pas menerima parti-parti yang berbeza ideologi untuk menyertai gabungan tersebut.
Tambahnya, tindakan itu dikhuatiri menjadi strategi “trojan horse” yang berpotensi menimbulkan masalah dalaman sehingga melemahkan dan memecah-belahkan PN.
Nordin Ahmad berkata, Pengerusi PN memaklumkan bahawa surat rasmi berhubung peletakan jawatan Ketua Pembangkang akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan sama ada Bersatu telah menghantar surat kepada Speaker bagi menukar kedudukan tempat duduk Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.
Menurutnya, sokongan terhadap Muhyiddin ketika ini semakin mengecil berbanding parti lain, malah bilangan Ahli Parlimen bebas juga didakwa lebih ramai daripada penyokong beliau.
“Kalau ada maruah, elok pindah sebelum dipindahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















