PONTIANAK – Pihak berkuasa Indonesia sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebuah helikopter yang membawa lapan orang selepas terputus hubungan pagi tadi.
Helikopter milik syarikat tempatan Matthew Air Nusantara, berlepas dari wilayah Kalimantan Barat di Pulau Borneo, menuju ke destinasi lain dalam wilayah yang sama, menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan.
Helikopter tersebut membawa dua anak kapal dan enam penumpang, dan hubungan terputus sekitar jam 8.10 pagi (0110 GMT).
Seramai kira-kira 20 anggota penyelamat telah dikerahkan untuk mencari di kawasan lokasi terakhir pesawat itu dikesan, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, I Made Junetra, kepada AFP.
Beliau menambah, sebuah helikopter tentera udara turut dikerahkan bagi membantu operasi pencarian.
Indonesia, sebuah negara kepulauan besar di Asia Tenggara, sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan ribuan pulaunya.
Negara itu juga mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang lemah, dengan beberapa kemalangan maut berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebuah pesawat turboprop yang disewa oleh kementerian perikanan terhempas di sebuah gunung di pulau Sulawesi pada Januari, mengorbankan kesemua 10 orang di dalamnya.
Pada September tahun lalu, sebuah helikopter yang membawa enam penumpang dan dua anak kapal terhempas sejurus berlepas dari wilayah Kalimantan Selatan, mengorbankan semua yang berada di dalamnya.
Kurang dua minggu kemudian, empat orang maut apabila sebuah lagi helikopter terhempas di daerah pedalaman Ilaga di Papua. – Agensi
















