KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili `Inspektor skizo’, Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah berpendirian, pegawai polis itu tidak berkeupayaan mengemukakan pengakuan terhadap pertuduhan cuba membunuh seorang anggota trafik.
G. Nanda Goban berkata, anak guamnya mempunyai sejarah bukti berdokumen sebagai penghidap skizofrenia melebihi tiga tahun dan masih menjalani pemerhatian psikiatri di hospital.
Ujar beliau, anak guamnya sedang bercuti sakit sejak kira-kira dua tahun lalu dan kali terakhir menjalani pemerhatian pada Februari lalu dan sepatutnya menyambungnya selepas itu, namun gagal berbuat demikian.
Kata beliau, Muhammad Kamal bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan berada ibu negara kerana bercuti sakit.

Oleh yang demikian, ujar peguam, pihaknya mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) supaya pegawai polis itu dirujuk ke hospital psikiatri bagi mendapatkan laporan pemeriksaan.
“Pada peringkat ini, kami berpendirian tertuduh tidak layak untuk mengemukakan pengakuan terhadap pertuduhan berdasarkan kepada penilaian awalan.
“Ini merupakan langkah standard yang perlu diambil bagi menentukan tahap mental tertuduh ketika kejadian sama ada dia boleh membuat pengakuan dan seterusnya dibicarakan.
“Kami turut berpendirian, lebih baik tertuduh tidak diberi ikat jamin dan ditahan di hospital kerana di sana lebih selamat berbanding di rumah,” katanya kepada wakil media di luar mahkamah hari ini.
Oleh yang demikian, beliau berkata, buat masa ini pasukan pembelaan tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu sehingga laporan psikiatri diperoleh.
Beliau turut memohon pihak media dan orang awam tidak membuat kenyataan dan menunggu proses pemeriksaan psikiatri dan undang-undang dijalankan.
Dalam pada itu, Nanda Goban turut memaklumkan, anak guamnya dan keluarga meluahkan keprihatinan terhadap anggota berkenaan dan pihak-pihak yang kenderaan mereka terjejas ketika kejadian tersebut.
“Kami doakan pegawai polis itu segera sembuh,” ujarnya.
Terdahulu, Muhammad Kamal, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan cuba membunuh Konstabel Roslan Salleh, 27, dengan cara melanggarnya dengan kereta Perodua Axia ketika anggota trafik itu bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra di sini pada pukul 10.47 malam, 10 April.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Tertuduh turut didakwa atas tujuh pertuduhan di hadapan Majistret Tg. Syazwany Yasmyn Tuan Roslan melibatkan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan melulu dan membahayakan.
Tuduhan pertama, pegawai polis itu didakwa berbuat demikian terhadap seorang lelaki di Jalan Loke Yew, di sini pukul 4.10 petang pada 13 April lalu, namun tiada pengakuan direkodkan. – MalaysiaGazette
















