KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Kelantan diarahkan untuk membantu 34 pelajar yang ditahan kerana merentas sempadan secara haram sebelum ini untuk mendapatkan dokumen perjalanan yang sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak akan menangkap dan mendakwa pelajar-pelajar terbabit sebaliknya akan membantu mereka dari segi dokumentasi.
“Sempadan Rantau Panjang hingga ke Jeli (sepanjang) lebih 100 km. Undang-undang menetapkan setiap pergerakan mesti ada dokumen perjalanan sah (seperti) border pass atau pasport.
“Kenapa penting? Kerana kawasan sempadan terdedah kepada jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, senjata api, pemerdagangan manusia dan dadah.
“Namun kita juga faham hubungan kekeluargaan di kawasan sempadan — kahwin campur, tinggal di sebelah sana, sekolah di sebelah sini,” katanya ketika ditanya mengenai isu 34 pelajar dan murid ditahan selepas merentas sempadan menggunakan pangkalan haram Jambu untuk ke sekolah di Rantau Panjang, baru-baru ini.
Kesemua mereka adalah warga Malaysia namun tinggal di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, katanya siasatan tetap dijalankan berhubung penggunaan laluan tidak sah termasuk kewujudan jeti haram di sepanjang Sungai Golok yang boleh menjadi ancaman kepada negara seperti jenayah rentas sempadan.
Tambahnya, pihak penguatkuasaan juga mengesan aktiviti penyeludupan dadah menggunakan pelajar atau haiwan.
Sehubungan itu beliau meminta agar masyarakat memahami setiap tindakan yang diambil oleh pasukan keselamatan yang ditugaskan untuk mengawal sempadan negara daripada sebarang ancaman.
“Namun dalam kes pelajar ini, kita akan bantu mereka mendapatkan dokumen perjalanan sah. Border pass hanya RM10, gambar RM10 — mereka boleh bergerak secara sah.
“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















