JASIN – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Jasin memohon bantuan orang ramai mengesan waris kepada bayi perempuan berusia lima bulan, Puteri Dhia Izzahra.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Nazuray Mohd Noh berkata, bayi berkenaan sebelum ini dijumpai tanpa sebarang dokumen pengenalan diri serta maklumat latar belakang keluarga yang jelas.
“Hasil siasatan awal juga mendapati Puteri Dhia Izzahra tidak mempunyai waris atau penjaga sah di sisi undang-undang.
“Maklumat ibu kandung dikenal pasti sebagai Salwa Maulana Putri dengan nombor pasport X6266404,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan menyelamatkan bayi berkenaan mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Selain itu, permohonan perintah di bawah Seksyen 15(3) akta sama turut dibuat bagi tujuan mengesan waris kanak-kanak terbabit.
“Sehubungan itu, pihak PKMD Jasin memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga atau waris bayi tersebut agar tampil membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin di talian 06-5291285. – MalaysiaGazette
















