SEREMBAN – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meluncurkan Jurnal Al-Taqrir: Jurnal Perundangan Syariah dalam talian pertama di negara ini sempena Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan Bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (KOPKES 2026), semalam.
Peluncuran jurnal berkenaan sebagai manifestasi penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan institusi kehakiman.
Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah sulung yang signifikan dalam menyatukan institusi akademik dan institusi kehakiman bagi memastikan amalan perundangan di lapangan dapat didokumentasi dan diterbitkan menurut piawaian keilmuan yang unggul, berwibawa serta diiktiraf dalam wacana akademik.
“Peluncuran Jurnal Al-Taqrir diharap dapat menjadi wadah rujukan utama dalam memperkasa kefahaman, dokumentasi dan perkembangan sistem perundangan syariah di Malaysia, di samping membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara institusi pengajian tinggi dan institusi kehakiman pada masa akan datang,” katanya.
Ujarnya lagi, keistimewaan jurnal ini terletak pada pengintegrasian penulisan berbentuk alasan penghakiman dan artikel ilmiah, sekali gus menjadikannya sebagai platform unggul yang menghubungkan amalan kehakiman dengan penyelidikan akademik secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.
“Inisiatif ini turut disokong oleh kepakaran daripada Kumpulan Penyelidikan CFORSJ, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), USIM, selain sumbang saran ilmiah daripada para cendekiawan FSU USIM serta kerjasama rapat bersama Penerbit USIM dalam memastikan kandungan jurnal mencapai standard keilmuan yang tinggi”, katanya.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Datuk Kamal Bashah Ahmad Tajuddin menyifatkan kolaborasi tersebut sebagai satu gabungan buah fikiran yang hebat antara pakar akademik dan pengamal Kehakiman Syariah di lapangan, memperkukuh pembangunan institusi perundangan Syariah serta memperluas akses kepada sumber ilmu yang berkualiti.
Konvensyen itu menghimpunkan pengamal undang-undang, ahli akademik serta pelajar dalam usaha memperkukuh wacana kehakiman dan perundangan Syariah di peringkat kebangsaan.
Bertemakan “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita dalam Pemilikan Harta”, program ini menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk ucaptama dan forum yang membincangkan integrasi antara prinsip Syariah dan adat dalam pengurusan harta.
Penganjuran KOPKES 2026 bertujuan menjadi platform perkongsian ilmu dan perbincangan ilmiah mengenai isu-isu semasa dalam perundangan Syariah, khususnya yang berkaitan dengan pengurusan harta berteraskan adat dan hukum syarak. – MalaysiaGazette
















