Tangkap layar video kandungan kecerdasan buatan (AI) memaparkan seorang wanita diiringi dua anggota polis lelaki di hadapan sebuah bangunan tertera tulisan Balai Polis Merlimau dipercayai dimuat naik pemilik akaun TikTok dikenali Najie @atynjiehah yang dilihat mencemarkan imej PDRM.

JASIN – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan satu video kandungan kecerdasan buatan (AI) dimuat naik pemilik akaun TikTok dikenali Najie @atynjiehah kerana mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, ia selepas pihaknya menerima laporan dibuat pengadu yang juga merupakan pegawai polis di di Balai Polis Merlimau kira-kira jam 1.04 tengah hari tadi.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan seorang wanita diiringi dua anggota polis lelaki di hadapan sebuah bangunan tertera tulisan Balai Polis Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert

“Siasatan awal mendapati video tersebut dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi AI dan dimuat naik oleh pemilik akaun berkenaan di TikTok.

“Pengadu membuat laporan selepas terlihat kandungan itu kira-kira jam 12.50 tengah hari dan mahu siasatan dibuat kerana ia boleh mencemarkan imej PDRM dan balai berkenaaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan dicadang dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian seperti menyebarkan kandungan lucah, palsu, mengancam, atau jelik.

Tambahnya, ia juga boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan fitnah jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan masih dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast