JAINJ melakukan serbuan dan menahan sepasang kekasih sedang berkhalwat dalam sebuah rumah di sebuah taman di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih yang sedang berkhalwat di rumah ibu bapa salah seorang mereka di sebuah taman di sini, terkejut apabila diserbu pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi semalam.

Serbuan penguat kuasa pada pukul 4 pagi itu dilakukan dalam operasi cegah maksiat selepas mendapat aduan awam bahawa wanita terbabit membawa seorang lelaki ke dalam rumah semasa ketiadaan orang tuanya.

Menurut JAINJ, semasa serbuan, wanita itu cuba memperdaya pihak penguat kuasa dengan mendakwa hanya seorang diri di rumah tersebut bagi mengelak pemeriksaan dan siasatan dilakukan.

“Sebaik penguat kuasa tiba di rumah tersebut, kita cuba mengetuk pintu rumah dan pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita yang berseluar panjang dan t-shirt.

“Penguat kuasa masuk ke rumah dan bertanya wanita itu dia bersama-sama siapa di rumah dan dia menjawab hanya seorang diri, namun penguat kuasa tidak percaya.

“Penguat kuasa memeriksa semua bilik dan salah satu bilik tertutup rapat tetapi tidak berkunci dan keadaan bilik gelap namun pendingin hawa terpasang. Penguat kuasa membuat pemeriksaan lanjut selepas suis lampu dibuka,” jelas JAINJ dalam kenyataan.

JAINJ memberitahu, pemeriksaan di dalam almari mendapati banyak pakaian wanita yang menunjukkan itu adalah bilik wanita terbabit.

Pemeriksaan lanjut akhirnya menemukan seorang lelaki yang sedang berbaring secara terlungkup dan menyorok bawah katil dalam satu bilik di rumah itu.

“Selepas disuluh dengan lampu suluh barulah lelaki itu keluar dari bawah katil dengan memakai seluar panjang dan t-shirt,” katanya.

Hasil soal siasat awal, pasangan kekasih yang masing-masing berusia 20-an dan masih bujang itu mengaku bukan suami isteri.

“Rumah itu adalah rumah wanita yang tinggal bersama-sama ibu bapanya. Pada hari kejadian, ibu bapanya tiada di rumah kerana bermalam di rumah anaknya yang lain.

“Kesempatan itu diambil oleh wanita berkenaan untuk bawa pulang lelaki itu. Motosikal lelaki itu diletakkan berhampiran rumah,” maklum JAINJ lagi.

JAINJ mendedahkan, semasa disoal siasat mereka mengaku sudah lama menjalinkan hubungan dan berhasrat untuk bernikah tetapi masing-masing baru bekerja dan ekonomi belum kukuh.

Pasangan itu ditahan atas kesalahan khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast