Gambar tular mangsa terbabit kejadian peralatan industri meletup di kilang di Gebeng, Kuantan. Sumber : Orang Awam

KUANTAN – Polis mengesahkan berlaku kejadian kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang besi di kawasan perindustrian Gebeng, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi dan melibatkan empat orang mangsa lelaki.

Katanya, semua mangsa membabitkan seorang warganegara tempatan dan tiga warganegara asing itu dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans syarikat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada satu letupan melibatkan peralatan industri di dalam premis berkenaan.

“Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gebeng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ashari, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang dan agensi keselamatan serta kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan ebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mengenai kejadian letupan di kilang terbabit tular di media sosial berserta gambar mangsa yang cedera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast