KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan ia menggunakan imuniti istana dan terdapat unsur rasuah berhubung isu tunggakan pembayaran kontrak pembinaan Masjid Al-Madaniah di USJ 18, Subang seperti yang ditularkan di media sosial.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kenyataan tersebut adalah tidak benar, mengandungi unsur fitnah dan boleh menjejaskan imej MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pengurusan masjid.
Menurut beliau, MAIS sedang meneliti peruntukan undang-undang bagi membuat tuntutan saman fitnah terhadap mana- individu yang telah mengeluarkan pernyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah kepada pihaknya dan institusi pengurusan masjid yang berkaitan.
Dalam masa sama, MAIS turut akan membuat laporan polis untuk mengambil tindakan terhadap fitnah jenayah di bawah kanun keseksaan terhadap pihak yang telah memfitnah MAIS dan JAIS berhubung isu tersebut.
“MAIS memandang serius berita yang ditularkan di aplikasi TikTok IPK.TV oleh pengguna Ridzuan Ikhlas yang bertarikh 13 April 2026 berhubung dengan isu tunggakan bayaran kontrak pembinaan Masjid Al-Madaniah, Jalan USJ 18/7, Subang kepada sub-kontraktor yang dikaitkan dengan MAIS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Sabirin menjelaskan, pembinaan masjid tersebut merupakan salah satu projek pembangunan infrastruktur keagamaan yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, urusan pelantikan kontraktor utama telah dibuat oleh ICU dan pelantikan sub-kontraktor telah dibuat oleh kontraktor utama.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak ICU, semua pembayaran telah diselesaikan oleh ICU kepada kontraktor utama pada 31 Oktober 2023 selaras dengan syarat-syarat kontrak yang telah ditandatangani.
“Dalam hal ini, walaupun urusan pelantikan kontraktor dibuat oleh ICU, JAIS juga telah mengambil tindakan mempertemukakan pihak-pihak kontraktor dan sub-kontraktor yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian, namun tiada persetujuan dicapai antara kontraktor dan subkonktraktor yg terlibat.
“Isu ini juga telah dijawab oleh pihak JAIS dalam kenyataan media bertarikh 13 Disember 2025,” katanya lagi.
Tambah beliau, MAIS memandang serius terhadap fitnah tersebut yang jelas menggunakan isu perkauman dan ia telah menyebabkan suasana yang tidak harmoni antara kaum dan agama.
MAIS juga mengingatkan semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan dan fitnah terhadap MAIS, JAIS dan pengurusan masjid berhubung perkara ini. -MalaysiaGazette
















