Nasran (kanan) menerima surat lantikan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Shamsul Azri di Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Nasran Omar dilantik sebagai Akauntan Negara baharu berkuat kuasa esok.

Pelantikan itu diumumkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam satu kenyataan hari ini bagi menggantikan Datuk Zainani Jusoh yang bersara wajib esok.

Menurut JANM, surat pelantikan Nasran disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Putrajaya, semalam.

Nasran memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau juga mempunyai keahlian profesional dalam The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA-CPA), Malaysian Institute of Accountants (MIA-CA) dan The Chartered Institute of Public Finance and Accountancy (CIPFA-CPFA), United Kingdom.

Menurut kenyataan itu, Nasran menyertai sektor awam pada 1994 sebagai Penolong Pengarah di Seksyen Piawaian Perakaunan JANM dan telah berkhidmat di pelbagai peringkat kerajaan negeri serta Persekutuan.

Antara jawatan yang pernah disandang termasuk Bendahari Negeri Melaka serta di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan.

JANM memaklumkan, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang perakaunan dan kewangan sektor awam, termasuk pengurusan akaun negeri, operasi perakaunan, pengurusan dana dan pengauditan, perakaunan forensik serta penyediaan penyata kewangan.

Sebelum ini, Nasran berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Operasi Pusat dan Agensi JANM yang bertanggungjawab mengurus aliran tunai kerajaan serta menyediakan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dari 2023 hingga 2025.

“Beliau turut menyumbang kepakaran dalam pembangunan Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) yang dibangunkan JANM,” menurut kenyataan itu.

JANM memaklumkan  PPIBZW merupakan piawaian perakaunan Islam pertama di dunia yang meletakkan Malaysia sebagai antara peneraju dalam bidang perakaunan dan kewangan sektor awam di peringkat global.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast