Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan, bercakap pada sidang media berkaitan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menumpaskan sindiket dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 191 individu dicekup selepas dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah dalam operasi khas dikenali sebagai Op Langka bermula 9 April hingga 12 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu susulan kebimbangan terhadap peningkatan masalah penyalahgunaan dadah.

“Operasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertumpu di Langkawi, Kuala Kedah dan Perlis susulan peningkatan ketara kes penagihan serta pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Hasil tindakan operatif dan gerak gempur yang dilaksanakan, sebanyak 231 serbuan dan seramai 191 orang telah berjaya ditangkap di bawah pelbagai kesalahan, di samping rampasan pelbagai jenis dadah.

“Daripada jumlah tangkapan, kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 mencatatkan angka tertinggi iaitu 128 kes, diikuti Seksyen 12(2) sebanyak 19 kes, Seksyen 39A(1) (empat kes) dan Seksyen 39A(2) (dua kes), selain dua kes di bawah Akta Racun,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, turut diberkas seramai 35 individu yang sebelum ini dikehendaki pihak berkuasa.

Ujarnya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast