KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap dua buah penerbitan bertajuk ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’ dan ‘Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’ bukan bertujuan menyekat kebebasan intelektual.
Sebaliknya, KDN dalam satu kenyataan menjelaskan, langkah tersebut merupakan tindakan pencegahan yang perlu diambil bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Mengulas mengenai Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) itu, KDN memaklumkan, setiap tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam, bukan semata-mata bergantung kepada tarikh penerbitan sesuatu bahan.
“Tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu penerbitan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
“Setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran yang berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, penilaian kandungan dibuat berlandaskan Seksyen 7 Akta 301, khususnya terhadap elemen yang boleh memudaratkan keselamatan awam.
“Hasil pemantauan berterusan serta maklumat risikan yang diterima, KDN mendapati terdapat bahan penerbitan yang mengandungi unsur dan ideologi komunisme yang mula beredar secara lebih terbuka di pasaran.
“Jika sebelum ini penyebaran bahan seumpama itu bersifat terhad dan tertutup, namun perkembangan mutakhir menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara,” katanya.
Tegasnya, KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang.
“Siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan tersebut serta melibatkan pihak penerbit seperti SIRD bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan, termasuk status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
“Sehubungan itu, semua pihak diseru agar tidak membesarkan isu berkenaan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam.
“KDN kekal komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam demi memastikan kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, syarikat penerbitan dua buku tersebut iaitu Gerakbudaya menyatakan akan mencabar tindakan pengharaman buku-buku terbitan mereka menerusi saluran perundangan sewajarnya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan media semalam berkata, pihaknya melihat tindakan tersebut sebagai satu langkah yang menyempitkan ruang wacana dan menghalang perkembangan budaya ilmu.
Jelasnya, buku-buku itu diterbitkan sebagai bahan rujukan dan refleksi sejarah yang membuka ruang kepada masyarakat untuk memikir ulang secara kritis.
Gerakbudaya memaklumkan pihaknya semalam menerima surat perintah larangan di bawah Seksyen 301, subseksyen 8(1) & (2) daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap dua buah buku terbitan syarikat itu.
Buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10 yang diterbitkan pada tahun 2007 di bawah imprin syarikat itu, Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Sepanjang berada di pasaran, buku itu telah diulang cetak sebanyak tiga kali dan pertama kali diterbitkan pada tahun 2004 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Buku kedua yang turut diharamkan ialah Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang diterbitkan pada tahun 2022. – MalaysiaGazette















