KUALA LUMPUR – Pengusaha restoran tidak akan meneruskan cadangan kenaikan harga makanan sehingga 50 peratus sekiranya kerajaan berjaya mengawal peningkatan kos operasi yang semakin menekan industri.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Datuk J Govindasamy berkata, ketika ini pengusaha restoran India berdepan tekanan kos yang ketara susulan kenaikan dalam pelbagai komponen operasi.
Menurutnya, antara faktor utama termasuk peningkatan harga gas memasak, tarif elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), caj air, kos bahan mentah serta bahan pembungkusan.
“Selain itu, kenaikan berterusan harga diesel dan petrol turut memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan dan logistik, ini meningkatkan beban keseluruhan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan tersebut, pengusaha restoran selama ini masih menyerap kenaikan kos berkenaan bagi mengelakkan beban tambahan kepada pengguna.
Namun, katanya, keadaan kini semakin mencabar apabila perbelanjaan operasi terus meningkat dalam semua aspek perniagaan.
“Situasi ini semakin sukar untuk ditampung sekiranya tiada langkah segera diambil bagi menstabilkan kos-kos berkaitan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Primas menegaskan, sekiranya kerajaan dapat mengambil langkah segera untuk menstabilkan harga gas, tarif elektrik, caj air, kos bahan mentah, bahan pembungkusan serta harga diesel dan petrol, pihaknya sedia mengekalkan harga menu sedia ada tanpa sebarang kenaikan sehingga 50 peratus.
Menurut persatuan itu, sokongan kerajaan amat penting bagi membantu industri mengekalkan paras harga semasa, sekali gus mengelakkan rakyat daripada terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Mereka juga menekankan, keutamaan industri ketika ini adalah memastikan makanan kekal mampu milik kepada orang ramai, dan dalam masa sama membolehkan perniagaan terus beroperasi secara mampan.
“Justeru, kerajaan digesa memperkenalkan langkah kawalan kos yang berkesan bagi menyokong sektor restoran serta mengelakkan sebarang pelarasan harga yang boleh memberi kesan kepada pengguna,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Primas turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam mencari penyelesaian praktikal yang dapat mengimbangi keperluan kelangsungan industri dan kepentingan pengguna. – MalaysiaGazette















