Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan sebarang hasrat parti komponen dalam PH untuk menuntut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak wajar dibincangkan secara terbuka di media.

Beliau berkata, perkara tersebut sebaliknya perlu dibawa ke platform rasmi gabungan menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH bagi memastikan proses rundingan berjalan secara tertib dan harmoni.

“Dalam PH kalau berhajat satu-satu kerusi Parlimen, kita tak sebut dalam surat khabar, kita bawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, kita akan bawa di peringkat Sekretariat, malah kita ada Jawatankuasa Perundingan kerusi. Itu tertib dia,” katanya sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Menurut Saifuddin Nasution, PH mempunyai mekanisme dalaman yang jelas bagi menguruskan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Jelasnya, setiap cadangan atau hasrat untuk bertanding di sesuatu kerusi perlu dibincangkan secara rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan keputusan dibuat secara kolektif.

Semalam, Khalid berharap parti-parti komponen di dalam PH dapat memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen strategik pada PRU-16.

Selain Putrajaya, Amanah turut mengintai kerusi Labuan dan Titiwangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast